WANITA tadbir NEGARA selaras zaman RASULULLAH S.A.W
Sejauh mana islam membenarkan wanita terbabit dalam sosiopolitik masyarakat dan negara? Sebenarnya, menjadi hukum yang jelas bahawa ulama mengharuskan pembabitan wanita dalam soal pentadbiran, pengurusan dan sebahagian kepimpinan negara.
Contoh nyata daripada sirah Rasulullah S.A.W dan sahabat menjadi dalil kepada keharusan pembabitan wanita dalam pentadbiran masyarakat dan negara. Kaum wanita dan zaman Rasulullah turut menyumbangkan saranan mengenai isu dan politik negara.
-
Ummu Salamah, misalnya pernah mencadangkan jalan keluar kepada Baginda dalam peristiwa Hudaibiah ketika sahabat tidak bersetuju untuk kembali ke Madinah dan mengerjakan haji pada tahun berikutnya. (Bukhari, Kitab: Syarat, bab: Syarat-syarat dalam berjihad dan berdamai dengan musuh perang , jilid 6, muka 257, 269 dan 276).
-
Begitu juga cadangan Ummu Sulaim kepada Rasulullah ketika perang Hunain mengenai orang yang cuba lari daripada medan perang. (Muslim, Kitab: Jihad, Bab: Kaum wanita berperang bersama kaum lelaki, jilid 5, muka 196).
-
Dalam suasana kegawatan politik umat Islam selepas pembunuhan Saidina Uthman, kita dapati Saidatina Aishah turut membabitkan diri dengan pendapat dan tuntutan bersama sahabat lain, supaya membunuh Uthman dihukum qisas.
-
Demikian juga ketegasan, keberanian dan ketajaman lidah Asma’ binti Abu Bakar ketika berhadapan dengan penguasa zalim Al-Hajjaj bin Yusuf As-Saqafi selepas mereka membunuh dan mensalibkan anaknya Abdullah bin Zubair. (Muslim, Kitab: Keutamaan-keutamaan, Bab:Kebohongan suku Thaqif dan kecurangannya, jilid 7, muka 190).
Menurut Dr. Yusuf Qradhawi ketika menghuraikan ayat 34, surah an-Nisa’, menjelaskan bahawa pemilihan beberapa wakil rakyat wanita ke dalam parlimen hanya bersifat minoriti dan majoriti mutlak masih ditangan lelaki. Oleh itu, tidak boleh dikatakan bahawa pemilihan wanita ke Parlimen akan menjadikan mereka pemimpin lelaki.
Beliau juga menambah, ayat itu mengenai kepimpinan lelaki ke atas wanita lebih cenderung kepada pemasalahan kehidupan dalam keluarga. Ertinya kaum lelaki adalah ketua keluarga yang bertanggungjawab penuh terhadap keluarganya.
Ungkapan ‘dan kerana mereka telah menafkahkan sebahagian harta mereka’ menunjukkan bahawa kepimpinan yang dimaksudkan adalah terhadap keluarga. Adapun kepimpinan sebahagian wanita ke atas sebahagian lelaki diluar lingkungan keluarga tidak ada nas melarangnya. Apapun yang dilarang adalah kepimpinan umum seorang wanita ke atas lelaki (pemimpin umat).
Ulama juga sepakat bahawa ada beberapa hal dalam masalah membuat hukum berkaitan wanita dan keluarga serta pelbagai hubungannya perlu ditangani oleh wanita. Tidak dapat tidak dan barangkali dalam beberapa hal, pandangan kaum wanita lebih tajam daripada lelaki. Dr. Yusuf Qradhawi memberi contoh ketika pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab, beliau mengambil pendapat wanita dalam beberapa perkara seperti tidak perlunya menetapkan bayaran maksimum mas kahwin dan tempoh seorang wanita boleh bersabar sewaktu ketiadaan sumai ketika keluar berperang.
Apapun perlu diingatkan di sini bukanlah apabila wanita dibenarkan mentadbir masyarakat dan negara, mereka boleh bercampur dengan lelaki ajnabi tanpa syarat atau batas kegiatannya sampai merugikan suami, rumah tangga dan anak-anak.
Begitu juga pembabitannya menyebabkan norma Islam berkaitan pakaian, gerak geri dan pembicaraan diketepikan.
Sebaliknya semuanya hendaklah dijaga dan diperhatikan sepenuhnya tanpa kecuali.